IPOH, 11 November 2025 - Lembaga Pengurusan Sumber Air Perak (LPSA Perak) telah mengadakan Lawatan ke Tapak Pembangunan Projek Hidroelektrik Kecil Sungai Pelus di Sungai Siput, semalam. Ketibaan delegasi LPSA Perak telah disambut oleh Pengarah Perak Hydro Renewable Energy Corporation Sdn Bhd (PHREC), YBrs. Encik Dzulkifly bin Abd Khalid bersama beberapa lagi pegawai yang lain.
Peserta Lawatan
Lawatan ini telah disertai oleh pegawai-pegawai LPSA Perak yang terdiri daripada:
- Puan Hanita binti Alang Ismail, Ketua Sektor Khidmat Pengurusan
- Cik Nur Syahidah binti Mohammad, Pegawai Undang-undang
- Puan Sharifah Nur Iman binti Syed Zainal Rasidi, Akauntan
- Encik Mohammad Suffian bin Zakaria, Pegawai Pelesenan
- Encik Muhammad Hanif bin Maarof, Jurutera
- Serta beberapa orang lagi kakitangan LPSA Perak
Turut serta dalam lawatan ini ialah wakil daripada Pejabat Kewangan Negeri, Encik Hafizul bin Ismail, Penolong Pegawai Kewangan Negeri (Hasil); wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Perak, Encik Surendran Nair a/l Chandran, Penolong Pengarah Sumber Asli, Alam Sekitar dan Air; serta wakil daripada MB Inc., Cik Vinitaa Paramasivam, Pegawai Eksekutif.
Tujuan Lawatan
Lawatan ini bertujuan untuk menilai kemajuan semasa projek pembinaan hidroelektrik Sungai Pelus yang mampu menjana tenaga elektrik berkapasiti 24.5MW apabila siap dan beroperasi penuh pada tahun 2027, selain mengenal pasti status pelaksanaan di tapak. Ia juga menjadi platform penting bagi pihak LPSA Perak dan agensi terlibat untuk memahami dengan lebih mendalam berkaitan aspek teknikal, cabaran pelaksanaan, serta impak projek terhadap komuniti, alam sekitar dan sumber air khususnya.
Platform Kerjasama
Selain itu, lawatan ini turut menjadi platform untuk memperkukuhkan hubungan kerjasama antara LPSA Perak dengan agensi-agensi kerajaan lain dan pihak pelaksana. Pertukaran pandangan dan perkongsian kepakaran yang berlaku sepanjang sesi lawatan memberi nilai tambah kepada pelaksanaan projek, di samping meningkatkan kefahaman bersama terhadap peranan masing-masing khususnya kepada LPSA Perak dalam memantau dan memastikan penggunaan sumber air digunakan secara maksimum dalam membekalkan tenaga elektrik.
Diharapkan dengan komitmen berterusan serta kerjasama erat antara semua pihak, Projek Pembangunan Hidroelektrik Kecil Sungai Pelus dapat disiapkan dan memberi manfaat kepada negeri Perak.
Slogan LPSA Perak: "Sumber Air Terpelihara, Masa Depan Terjaga"
#lpsaperak #PerakSejahtera2030